Saturday, March 5, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 4)

Belum sempat Hirman membuka mulut, Nur terlebih dahulu mencelah. “Jom la kita balik. Hari dah makin gelap. Kalau orang-orang kampung nampak kita berdua kat sini, apa pula kata diorang nanti,” ucap Nur. Hirman yang terpaksa melupakan hasratnya untuk membuat pengakuan di hadapan Nur hanya mengangguk tanda setuju. Tatkala Nur membuka langkah kanannya, sesuatu diluar dugaan berlaku. Dia tergelincir dan hampir-hampir saja terjatuh ke dalam sawah. Mujurlah Hirman yang berada di situ bertindak sepantas kilat menyelamatkan Nur.  Bagaikan sang putera enggan si puterinya terluka, Hirman terus menyambut tangan Nur dan menarik wanita itu ke dalam rangkulan pelukannya. Buat seketika, Hirman bagaikan hilang arah dengan apa yang dilakukannya. Mahu sahaja dipeluk diri Nur seerat-eratnya kerana takut akan kehilangan wanita itu. Hirman tersentap dan khayalannya lenyap setelah Nur menolak dirinya agar dilepaskan daripada rangkulan lelaki itu. Hirman yang menyedari tingkah lakunya yang kurang sopan itu terus berundur ke belakang dan cepat-cepat memohon maaf.”Maaf Nur. Saya tak sengaja,” tutur Hirman dengan ikhlas. Tanpa memandang sedikit pun wajah Hirman mahupun mempedulikan ucapan maafnya, Nur terus mengorak langkahnya menuju ke rumah. Bagaikan marah dengan kelakuan Hirman, dia langsung tidak mengucapkan selamat tinggal mahu pun ucapan terima kasih. Kalau tidak kerana ketangkasan Hirman menyelamatkannya, sudah tentu dia sudah bermandikan lumpur sawah!

Malam itu, Hirman langsung tidak dapat melelapkan mata. Bukan kerana berdebar tentang hari esok, namun terlalu risau memikirkan kejadian yang berlaku petang tadi. Niatnya ikhlas, cuma ingin membantu. Namun kerana tersilap langkah, Nur pula menyalahtafsirkan perbuatannya itu. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi dan Hirman masih lagi tidak dapat tidur. Malah fikirannya bertambah kusut memikirkan masalah itu. Mahu sahaja dia berlari ke rumah Nur dan menjelaskan segalanya. Namun dia yakin Nur tetap tidak mahu berjumpa dengannya. Mahu sahaja dia mencapai telefon dan terus menghubungi Nur tetapi nombornya pula tiada. Dia bertambah rungsing. Fikirannya bercelaru, hatinya resah, jiwanya kacau. Bagi meredakan tekanan tersebut, dia nekad untuk membuat penjelasan. Bukan secara lisan tetapi memadailah melalui mata pena.

“ Ke hadapan sahabat yang dikasihi, Nur Hidayah Bt Amirul.
Mungkin ketika awak membuka lembaran surat ini, saya sudah jauh di perantauan demi menuntut ilmu bagi memajukan nusa bangsa. Atau  mungkin juga ketika itu saya telah dijemput pulang menemui Yang Maha Esa. Tak kisahlah bagaimana keadaan saya, doa saya tetap bersama awak. Biarkanlah doa saya menemani diri awak sehingga ke akhir hayat awak. Saya tulis surat ini bukan kerana terpaksa atau dipaksa, tapi semua yang bakal saya coretkan ini adalah jauh daripada sudut hati saya. First sekali, thank you so much sebab sudi jadi sahabat saya. Mungkin persahabatan yang terjalin antara kita hanya sekejap, tapi saya nak awak tahu yang sekejap inilah lebih bermakna buat saya. First time nampak awak, pintu hati saya terasa bagaikan diketuk oleh seorang bidadari. Awak dah buat saya jadi tak keruan. Bila saja awak jadi sahabat saya, saya makan sikit pun dah kenyang. Nak tidur tu, hanya pejam mata terus terlena, siap mimpi indah-indah lagi. Sweet sangatkan segala kesan yang awak tinggalkan kat saya. Kalau hidup saya cam ‘puzzle’, awak lah kepingan terakhir yang melengkapkan ‘puzzle’ tu tau. Segala masa dan memori yang kita luangkan bersama akan tetap terpahat dalam hati saya. Mungkin sekarang ni awak dah mula semarakkan api kebencian terhadap saya. Dan mungkin juga awak dah mula beranggapan tidak baik terhadap saya. Tapi secara jujur dan ikhlasnya saya minta maaf pada awak. Tolong maafkan saya atas keterlanjuran dan kebiadapan saya terhadap awak. Segala yang terjadi ketika di sawah tu bukan sengaja saya lakukan. Saya cuma tak nak awak tercedera. Sahabat mana yang sanggup tengok sahabatnya bermandikan lumpur sawah. Tapi saya sedar yang saya dah tersilap percaturan. Niat murni ingin menolong telah dihasut oleh si iblis. Namun itu tak bermakna saya sengaja mengambil kesempatan terhadap awak. Saya sangat berharap agar awak dapat melupakan peristiwa itu dan memaafkan saya. Semoga persahabatan kita terus kekal dan tinggilah harapan saya agar doa awak akan sentiasa mengiringi pemergian saya. Akhir sekali, terima kasih sebab awak dah bawa sinar baru dalam diri saya dan awak telah meruntuhkan tembok keegoan saya terhadap wanita. Semoga kita terus berkawan dan semoga awak juga menemui seorang insan yang layak memiliki cinta awak.”

Hirman menoktahkan penulisannya dengan titisan air mata dan hembusan nafas lega. Akhirnya dia terlena dengan pen masih di tangan.
Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Seawal jam 8.30 pagi, ramai saudara-mara, sahabat dan jiran memenuhi halaman rumah keluarga Hirman bagi memberi semangat dan penghormatan terakhir sebelum dia berlepas ke Russia. Beg sudah dimasukkan ke dalam kereta dan Hirman pun sudah habis bersalam dengan semua yang hadir. Namun, di sebalik senyuman yang dilemparkan terhadap orang ramai, hatinya kembali berduka. Nur langsung tidak kelihatan dan tiada ucapan selamat tinggal kedengaran daripadanya. Hirman hampa. Bagaimana dia hendak menyerahkan surat yang telah dikarangnya semalam? Adakah cukup dengan memberikan surat tersebut kepada  Ustaz Amirul untuk disampaikan kepada anaknya? Atau lebih elok dia sendiri yang singgah sekejap di rumah Nur untuk menyerahkan surat tersebut sebelum menuju ke lapangan terbang?

                                                                                                             

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger templates

Blogroll

About