Monday, March 14, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 5)

“Hirman, jom!”, mak Erma mengajak anak kesayangannya itu masuk ke dalam kereta kerana mereka sepatutnya sudah bertolak sekarang. Kereta tersebut bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah sambil diiringi lambaian penuh pengharapan oleh penduduk kampung. Mereka cukup berharap Hirman mampu membanggakan kampung mereka suatu hari nanti. “ Mak, boleh tak singgap kejap di rumah Nur. Saya ada sesuatu nak bagi kat dia,” tutur Hirman. Mak Erma dan Pak Ramlan hanya mengangguk tanda faham akan keinginan yang memberontak dalam diri anak lelaki mereka itu. Setibanya di rumah Nur, Hirman membuka pintu kereta perlahan-lahan kerana sebenarnya dia cukup gementar untuk menyerahkan surat tersebut kepada Nur. Lagi gugup tatkala dia memikirkan seandainya Nur tidak ingin menemuinya. Hirman pantas menyembunyikan perasaannya itu. “Biarlah masa menentukan segalanya,” dia bermonolog. Pintu diketuk berulang kali, ucapan salam cuba dilaungkan sekuat mungkin. Namun, rumah Nur kelihatan sunyi, tiada seorang pun yang menjengah ke luar apatah lagi menjawab ucapan salamnya. 

Tidak lama kemudian, Ustaz Amirul muncul dengan tergesa-gesa. “Man, apa yang kamu buat kat sini? Bukankah kamu dah lewat untuk ke airport?” Ustaz Amirul menanyakan soalan bertubi-tubi. “Saya nak jumpa Nur sekejap. Ada sesuatu yang saya nak bagi,” Hirman membuat penjelasan.
“Astaghfirullahal’azim! Saya lupa nak bagi tau kamu yang Nur dimasukkan ke hospital semalam. Dia diserang penyakit lamanya,” Ustaz Amirul memberitahu Hirman. “Penyakit?! Penyakit apa? Saya tak pernah tau pun yang Nur ada penyakit,” ucap Hirman dalam nada agak terkejut. “Sebenarnya Nur ada penyakit barah otak. Tapi lepas pembedahan dulu, doktor kata dia selamat. Macam suatu keajaiban jugalah. Tapi akhir-akhir ni dia mengadu sakit kepala. Bila dia kata sakit kepala sangat semalam, kami terus bawa dia ke hospital. Doktor kata penyakit barah tu mungkin dah serang dia semula. Jadi dia perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” Ustaz Amirul menerangkan dengan panjang lebar. Hirman terduduk. Tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi pipi. Hatinya merintih, jiwanya rasa hiba. Dia bagaikan tak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Dia langsung tidak menyangka seorang wanita ayu yang tidak lokek dengan senyuman dan senantiasa ceria bergelak ketawa sebenarnya menderita penyakit yang cukup serius. “Man, kamu okey?” tanya Ustaz Amirul setelah menyedari perubahan raut wajah Hirman. “tak pa lah. Kamu pergi cepat ke airport. Nanti terlewat pula. Kalau kamu ada apa-apa nak bagi pada Nur, kamu bagi saja pada pakcik. Nanti pakcik sampaikan pada dia. Apa-apa perkembangan, tentang Nur nanti pakcik inform kat kamu,” sambung Ustaz Amirul. Hirman hanya mengangguk dan menyerahkan surat tersebut kepada Ustaz Amirul. Dia berlalu pergi dengan dukacita. Kepedihan dan kerisauan yang membadai dirinya hanya Tuhan yang tahu. Hancur luluh hatinya memikirkan pemergiannya kali ini diiringi dengan khabar yang cukup menyayatkan hati. Mungkin selepas ini dia tidak akan dapat menatap lagi wajah ayu Nur. Jika itu berlaku, hatinya akan kembali suram, hidupnya akan bertukar muram kerna sang bidadari yang menyinari hidupnya telah pergi. Dia mengerti setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dia menyedari setiap yang hidup pasti akan mati, dia mengetahui setiap hubungan memerlukan pengorbanan. Namun, dia belum bersedia untuk menghadapi semua itu. Semua ini terlalu awal bagi hatinya yang kembali menguntumkan bunga-bunga cinta! 

Hirman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan bertemankan leraian air mata.  Mak Erma mengesat air mata yang membasahi pipi anak lelakinya itu. Pak Ramlan pula hanya menepuk-nepuk bahu Hirman sebagai tanda sokongan. “ Man, sudah la. Tak elok kalau lelaki menangis. Nanti tak gentleman,” Mak Erma bersuara. “ Man, emak dah pernah lalui apa yang sedang kamu lalui sekarang. Ini semua adalah pahit manis kehidupan. Ini semua ujian Allah ke atas kamu. Dia ank uji kamu sama ada kamu sabar atau tak. Dan Allah juga dah ciptakan setiap manusia itu berpasangan. Jadi sekarang, mak cuma nak kamu tanya pada hati kamu. Jujur pada diri kamu. Kamu betul-betul sayangkan Nur? Kamu yakin dialah pasangan yang diciptakan untuk kamu? Kamu pasti kamu mampu menjaga dia dan dia juga mampu membahagiakan kamu? Man, hidup di dunia ni hanya sekali. Jangan disia-siakan peluang yang ada. Dan juga dilepaskan kegembiraan yang mampu kamu kecapi, takut perginya nanti tidak akan kembali. Kamu masih ada masa untuk fikirkan semua ni. Mak tak kan pernah halang kamu untuk setiap keputusan yang man lakukan. Ini hidup man. Belajar-belajar juga tapi kebahagian dengan ilmu tidak cukup, kebahagiaan hidup juga perlu kamu utamakan. Jadi, fikirlah baik-baik,” Mak Erma memberikan nasihat.  Hirman terkedu mendengarkan nasihat emaknya. Tak disangka emaknya mampu menuturkan kata-kata seperti itu. Hirman keliru.

Patutkah dia meneruskan sahaja impiannya melanjutkan pelajaran ke Russia? Namun dia takut seandainya pemergiannya kali ini bakal menjadi titik perpisahan antara dia dan Nur untuk selama-lamanya. Atau lebih baik sekiranya dia menangguhkan pengajiannya dan berada di samping Nur, menemani wanita itu menghadapi saat-saat getir dalam hidupnya?

Saturday, March 5, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 4)

Belum sempat Hirman membuka mulut, Nur terlebih dahulu mencelah. “Jom la kita balik. Hari dah makin gelap. Kalau orang-orang kampung nampak kita berdua kat sini, apa pula kata diorang nanti,” ucap Nur. Hirman yang terpaksa melupakan hasratnya untuk membuat pengakuan di hadapan Nur hanya mengangguk tanda setuju. Tatkala Nur membuka langkah kanannya, sesuatu diluar dugaan berlaku. Dia tergelincir dan hampir-hampir saja terjatuh ke dalam sawah. Mujurlah Hirman yang berada di situ bertindak sepantas kilat menyelamatkan Nur.  Bagaikan sang putera enggan si puterinya terluka, Hirman terus menyambut tangan Nur dan menarik wanita itu ke dalam rangkulan pelukannya. Buat seketika, Hirman bagaikan hilang arah dengan apa yang dilakukannya. Mahu sahaja dipeluk diri Nur seerat-eratnya kerana takut akan kehilangan wanita itu. Hirman tersentap dan khayalannya lenyap setelah Nur menolak dirinya agar dilepaskan daripada rangkulan lelaki itu. Hirman yang menyedari tingkah lakunya yang kurang sopan itu terus berundur ke belakang dan cepat-cepat memohon maaf.”Maaf Nur. Saya tak sengaja,” tutur Hirman dengan ikhlas. Tanpa memandang sedikit pun wajah Hirman mahupun mempedulikan ucapan maafnya, Nur terus mengorak langkahnya menuju ke rumah. Bagaikan marah dengan kelakuan Hirman, dia langsung tidak mengucapkan selamat tinggal mahu pun ucapan terima kasih. Kalau tidak kerana ketangkasan Hirman menyelamatkannya, sudah tentu dia sudah bermandikan lumpur sawah!

Malam itu, Hirman langsung tidak dapat melelapkan mata. Bukan kerana berdebar tentang hari esok, namun terlalu risau memikirkan kejadian yang berlaku petang tadi. Niatnya ikhlas, cuma ingin membantu. Namun kerana tersilap langkah, Nur pula menyalahtafsirkan perbuatannya itu. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi dan Hirman masih lagi tidak dapat tidur. Malah fikirannya bertambah kusut memikirkan masalah itu. Mahu sahaja dia berlari ke rumah Nur dan menjelaskan segalanya. Namun dia yakin Nur tetap tidak mahu berjumpa dengannya. Mahu sahaja dia mencapai telefon dan terus menghubungi Nur tetapi nombornya pula tiada. Dia bertambah rungsing. Fikirannya bercelaru, hatinya resah, jiwanya kacau. Bagi meredakan tekanan tersebut, dia nekad untuk membuat penjelasan. Bukan secara lisan tetapi memadailah melalui mata pena.

“ Ke hadapan sahabat yang dikasihi, Nur Hidayah Bt Amirul.
Mungkin ketika awak membuka lembaran surat ini, saya sudah jauh di perantauan demi menuntut ilmu bagi memajukan nusa bangsa. Atau  mungkin juga ketika itu saya telah dijemput pulang menemui Yang Maha Esa. Tak kisahlah bagaimana keadaan saya, doa saya tetap bersama awak. Biarkanlah doa saya menemani diri awak sehingga ke akhir hayat awak. Saya tulis surat ini bukan kerana terpaksa atau dipaksa, tapi semua yang bakal saya coretkan ini adalah jauh daripada sudut hati saya. First sekali, thank you so much sebab sudi jadi sahabat saya. Mungkin persahabatan yang terjalin antara kita hanya sekejap, tapi saya nak awak tahu yang sekejap inilah lebih bermakna buat saya. First time nampak awak, pintu hati saya terasa bagaikan diketuk oleh seorang bidadari. Awak dah buat saya jadi tak keruan. Bila saja awak jadi sahabat saya, saya makan sikit pun dah kenyang. Nak tidur tu, hanya pejam mata terus terlena, siap mimpi indah-indah lagi. Sweet sangatkan segala kesan yang awak tinggalkan kat saya. Kalau hidup saya cam ‘puzzle’, awak lah kepingan terakhir yang melengkapkan ‘puzzle’ tu tau. Segala masa dan memori yang kita luangkan bersama akan tetap terpahat dalam hati saya. Mungkin sekarang ni awak dah mula semarakkan api kebencian terhadap saya. Dan mungkin juga awak dah mula beranggapan tidak baik terhadap saya. Tapi secara jujur dan ikhlasnya saya minta maaf pada awak. Tolong maafkan saya atas keterlanjuran dan kebiadapan saya terhadap awak. Segala yang terjadi ketika di sawah tu bukan sengaja saya lakukan. Saya cuma tak nak awak tercedera. Sahabat mana yang sanggup tengok sahabatnya bermandikan lumpur sawah. Tapi saya sedar yang saya dah tersilap percaturan. Niat murni ingin menolong telah dihasut oleh si iblis. Namun itu tak bermakna saya sengaja mengambil kesempatan terhadap awak. Saya sangat berharap agar awak dapat melupakan peristiwa itu dan memaafkan saya. Semoga persahabatan kita terus kekal dan tinggilah harapan saya agar doa awak akan sentiasa mengiringi pemergian saya. Akhir sekali, terima kasih sebab awak dah bawa sinar baru dalam diri saya dan awak telah meruntuhkan tembok keegoan saya terhadap wanita. Semoga kita terus berkawan dan semoga awak juga menemui seorang insan yang layak memiliki cinta awak.”

Hirman menoktahkan penulisannya dengan titisan air mata dan hembusan nafas lega. Akhirnya dia terlena dengan pen masih di tangan.
Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Seawal jam 8.30 pagi, ramai saudara-mara, sahabat dan jiran memenuhi halaman rumah keluarga Hirman bagi memberi semangat dan penghormatan terakhir sebelum dia berlepas ke Russia. Beg sudah dimasukkan ke dalam kereta dan Hirman pun sudah habis bersalam dengan semua yang hadir. Namun, di sebalik senyuman yang dilemparkan terhadap orang ramai, hatinya kembali berduka. Nur langsung tidak kelihatan dan tiada ucapan selamat tinggal kedengaran daripadanya. Hirman hampa. Bagaimana dia hendak menyerahkan surat yang telah dikarangnya semalam? Adakah cukup dengan memberikan surat tersebut kepada  Ustaz Amirul untuk disampaikan kepada anaknya? Atau lebih elok dia sendiri yang singgah sekejap di rumah Nur untuk menyerahkan surat tersebut sebelum menuju ke lapangan terbang?

                                                                                                             
 

Blogger templates

Blogroll

About