Wednesday, February 23, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 3)

Setelah undian dilakukan selama beberapa hari, hampir 3/4 pembaca memilih jawapan A iaitu Hirman akan menegur Nur..
Berikut adalah sambungannya..semoga terhibur..


Hirman mula berfikiran rasional. Melihat kepada keayuan dan kejelitaan yang terdapat pada diri Nur, Hirman cukup yakin cinta suci Nur telah dimiliki oleh insan lain yang cukup bertuah. Walaupun insan tersebut bukan dirinya yang begitu mendambakan cinta Nur, Hirman tetap tidak akan berputus asa dalam mencintai Nur. Mungkin mencintai seseorang secara diam lebih baik kerana cinta yang tulus akan hadir tanpa perlu dipaksa mahupun dilafazkan.  Mungkin dirinya hanya bertepuk sebelah tangan tetapi itulah yang dinamakan cinta. Mungkin cinta perlunya pengorbanan. Dan itulah yang akan dilakukan oleh Hirman. Dia akan terus memendam perasaannya terhadap Nur dan mengambil keputusan untuk terus menyambung pengajiannya di Russia seterusnya bergelar doktor pakar.

Hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum Hirman membuka lembaran baru hidupnya di Russia. Segala tempoh masa yang ada digunakannya sebaik mungkin. Dia lebih gemar menolong ayahnya di kebun dan ibunya di rumah. Mungkin semua pekerjaan itu tidak akan dapat dilakukannya nanti apabila bergelar pelajar jurusan perubatan di Russia. Dalam tempoh sebulan itu jugalah Nur semakin kerap melawat dan sedikit sebanyak menolong Mak Cik Erma. Hirman juga tidak lagi kekok untuk berbicara dengan Nur malah mereka telah menjalinkan hubungan persahabatan. Kehadiran Nur sedikit sebanyak telah mengubat luka lalu dan telah meruntuhkan tembok keegoan Hirman terhadap wanita. Kata semangat dan motivasi yang diberikan Nur kepada dirinya digunakan pakai sebagai suntikan untuk dia terus mengharumkan kampungnya dengan menjadi penduduk kampungnya yang pertama  bergelar doktor pakar.

Pada hari terakhir Hirman  di kampungnya sebelum bertolak ke Russia, Nur telah  menemaninya untuk merasai suasana kampung yang dikelilingi sawah yang tidak akan dinikmatinya untuk suatu tempoh yang lama selepas ini.  Sinaran mentari yang dilindungi kepulan awan yang  berarak tanpa tujuan ditemani lambaian pepohon kelapa dan tiupan angin yang agak sepoi-sepoi bahasa menghiasi episod indah pertemuan terakhir mereka itu. Mereka berborak dan bergelak ketawa kerana mereka sedar mungkin perpisahan pada esok hari akan diiringi tangisan air mata. Sebelum berpisah, Hirman memberanikan diri bertanyakan kepada Nur. “Kita mungkin sudah jadi kawan tapi sebenarnya saya masih tak tahu macam-macam pasal awak. Banyak sebenarnya yang saya ingin tanya tetapi saya takut sekiranya soalan-soalan tu nanti akan mengganggu privasi awak”, ucap Hirman. “Hirman, kalau tak tanya dah pandai buat anggapan sendiri, macam mana nak tahu. Saya ni seorang yang ‘open minded’. Jadi tanya saja apa yang awak nak”, Nur membalas dengan senyuman manis di bibir. “Sebenarnya...hmm...sebenarnya...awak..”, lidah Hirman kelu untuk menuturkan persoalan itu. “Apa masalahnya ni? Nak cakap pun cam tergagap ja. Tanya saja. Saya janji tak kan marah”, ucap Nur dengan lancar. “ Sebenarnya saya nak tanya. Maaflah kalau persoalan ni mungkin menyentuh hal peribadi awak”, ucap Hirman. Nur hanya mengangguk. Hirman meneruskan pertanyaannya, “ Sebenarnya awak ni masih solo ke? Atau awak sudah berpunya?”. Nur yang mendengar persoalan itu ketawa kecil lantas membuatkan Hirman tertunduk malu. “Saya solo saja. Mungkin tak ada rezeki lagi kot. Lagipun siapa la mahukan orang yang macam saya kan. Asyik bercakap saja sampai jemu orang nak dengar”, Nur menjawab diselangi ketawa kecil. Pengakuan Nur sebentar tadi telah menaikkan penghasilan adrenalin di dalam diri Hirman, menyebabkan jantungnya berdegup pantas. Bagaikan tuah di depan mata, Hirman bagaikan mahu saja mengaku bahawa dirinya begitu mendambakan cinta daripada Nur. Namun dia takut sekiranya pengakuannya akan menjejaskan hubungan persahabatan mereka.  Namun dia juga takut seandainya dia tidak akan lagi sempat melafazkan kata cintanya pada Nur selepas ini. Hirman keliru. Apa yang harus dilakukannya?

Friday, February 18, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 2)

Setelah undian dilakukan selama beberapa hari, hampir 2/3 pembaca memilih jawapan A iaitu Hirman akan menegur Nur..
Berikut adalah sambungannya..semoga terhibur..


Perasaan ingin mengenali gadis ayu itu semakin kuat dan memberontak dalam jiwa lelaki Hirman. Tanpa mampu dibendung lagi, terpacul juga seungkap kata daripada mulut manisnya. Seungkap kata yang mencetuskan perkenalan dua insan. “Hai”, ucap Hirman diluar kawalan dirinya. Nur yang hanya memerhatikan gelagat melucukan Hirman dari tadi hanya mampu mengukir senyuman yang menyerlahkan keayuannya. Kemanisan senyuman Nur itu bagaikan bebunga fuyuzakura (winter sakura) yang kembang mekar tatkala musim salji melanda. Dan itulah yang melanda Hirman. Hatinya kumbangnya telah diragut oleh sekuntum bunga sakura yang menjelma baru sesaat namun mampu mencuri hati si kumbang yang sebelum ini ego terhadap wanita. Ucapan Hirman sebentar tadi tidak dibalas dengan hanya senyuman tetapi juga dibalas dengan ucapan ‘Assalamualaikum’. Hirman yang menyedari kesilapannya dalam memulakan bicara tertunduk malu. Gelagatnya itu diperhatikan emaknya yang sudah sekian lama tidak melihat Hirman segirang itu. “Waalaikumussalam”, Hirman menjawab. “Maafkan saya tapi saya masih tak dapat nak ingat awak siapa”, ucap Hirman sejujurnya. Sebelum sempat Nur menjawab, Mak Erma terlebih dahulu mencelah. “Ish kamu ni Man, Nur tu kan anak Ustaz Amirul, imam kampung kita ni. Dia selalu datang tolong emak bila kamu tiada”, Mak Erma mencelah. Hirman hanya menggangguk walaupun sebenarnya dia masih tidak mengenali wanita ayu itu. Nur yang kelihatan agak gugup dan segan dengan gelagat Hirman yang sejak dari tadi menatap dirinya meminta izin daripada Mak Erma untuk pulang. “ Jalan baik-baik ya. Jangan lupa sampaikan salam mak cik pada ibu bapa kamu”, ucap Mak Erma.

 Tatkala Nur sudah mengorakkan langkah untuk pulang, kelihatan Hirman masih lagi dalam dunia khayalannya sendiri. Dia sebenarnya sedang membayangkan dirinya berada dalam sebuah majlis yang mendebarkan di mana ketika itu dia sedang berhadapan dengan seorang kadi. Debaran dan degupan jantungnya yang semakin pantas berdegup ditemani titisan air peluh yang sedikit membasahi baju melayu lengkap yang dipakainya menghiasi suasana itu. Dan ketika itulah Hirman berkata, “aku terima nikah Nur Hidayah Bt Amirul dengan mas kahwin sebanyak RM131 tunai”. Tanpa disangka, kata-kata itu jugalah yang terpacul keluar daripada mulutnya di alam realiti ini. Ucapan tersebut memeranjatkan Mak Erma dan Pak Ramlan yang kebetulan baru pulang dari kebunnya. “Amboi, lancarnya kamu cakap. Macam dah sedia nak kahwin ja”, Pak Ramlan menyindir Hirman. Hirman yang sudah terjaga daripada lamunan khayalan indahnya hanya  terdiam dan terus berjalan menuju ke ruang tamu. Dirasakan dirinya sudah tidak mampu untuk membendung hati nuraninya itu.Bagi menghilangkan tekanan yang dihadapinya, dia terus bergegas ke biliknya dan menghidupkan komputer riba baru  jenama Acer yang dibelinya  beberapa bulan lepas. Dia terus membuka ‘Microsoft Word’ dan memulakan penulisannya dengan tajuk  yang baru, ‘Adakah Dirinya Untukku?’. Hampir sejam mencurahkan perasaannya melalui penulisan, Hirman mengakhiri penulisannya itu dengan seungkap sajak :

Jika diriku sang pelangi,
Engkau lah si warna-warni,
Menimbulkan rasa sayang di hati,
Membibitkan rasa cinta tanpa disedari...
Jika diriku sang putera yang mencari,
Engkau lah puteri yang ku nanti-nanti,
Sehidup semati ku berjanji,
Akan bersamamu merealisasikan mimpi....

Sebelum menutup komputernya, dia menggerakkan tetikus komputernya untuk memainkan sebuah lagu yang mungkin sesuai dengan keadaan dirinya ketika ini yang sudah mabuk cinta. Lagu ‘inilah cinta’ dendangan Akim, iaitu peserta Akademi Fantasia 7 dihayatinya kerana dia yakin setiap lagu yang dicipta mengandungi mesej-mesej yang abstrak. Dan mungkin mesej yang disampaikan menerusi lirik lagu tersebut mampu mengubah dirinya supaya tidak lagi fobia akan cinta.

Hari-hari yang mendatang dilalui Hirman dengan senyuman manis terukir di bibir. Bukan kerana gembira akan melanjutkan pelajaran ke Russia, tetapi lebih kepada kehadiran insan bergelar Nur yang telah memberi sinar baru dalam hidupnya. Hari demi hari, setiap jam yang berlalu, setiap minit yang berdetik, wajah ayu Nur berlegar-berlegar di ruang mindanya. Bagaikan pungguk rindukan bulan, bagai siang menantinya malam, bagaikan bulan menantinya bintang, hidup Hirman bagaikan dedaun kering yang luruh dan dipukul angin ke sana sini. Dia sudah hilang arah dalam pelukan cinta Nur. Baginya, mungkin Nur lah insan yang telah diciptakan Yang Maha Kuasa untuknya. Mungkin Nur jugalah tulang rusuk kanan yang akan melengkapkan anggotanya. Namun, hatinya takut untuk menyatakan cinta. Takut akan dikecewakan lagi. Takut juga andai cinta Nur sudah dimiliki insan lain. Ingin bertanya kepada Nur, dia takut disalah anggap. Ingin bertanya kepada emaknya, dia takut mendapat jawapan yang tidak tepat. Walau bagaimanapun, dia bertekad untuk mendapatkan kepastian. Tapi bagaimana?

Monday, February 14, 2011

Hati Ini Milik Siapa? (episod 1)

                  “International Medical School Of Russia... Here I come”. Hirman terus menoktahkan ayatnya. Dia kembali bersandar pada kerusi empuknya sambil fikirannya melayang entah ke mana.. Tanpa arah tujuan, akhirnya suatu persoalan menerjah ruang mindanya. “Hirman, sampai bila engkau mahu terus membujang? Janganlah engkau menjadi seorang insan yang fobia akan cinta..”. Mungkin itu juga bukan suatu persoalan tetapi lebih menjurus kepada suatu harapan baru mahupun satu desakan nalurinya yang semakin meningkat dewasa. Sedar tidak sedar umur Hirman akan menjangkau 30 tahun ; umur yang sudah cukup tua untuk mendirikan rumah tangga. Namun, tragedi permainan cinta tiga segi yang menimpa dirinya suatu ketika dahulu  membuatkan dia seakan-akan sudah putus asa dalam mencari cinta sebenar lantas menjadikan dirinya sering dilabel sebagai insan tanpa perasaan. Mungkin itu yang terbaik untuk dirinya, menghambakan diri pada ilmu bukan pada cinta yang tiada noktah penghujungnya. Peristiwa pahit itu juga menyedarkan dirinya supaya berhati-hati dalam mempercayai kawan kerana kepercayaan penuh yang dicurahkannya kepada kawan yang dianggap ‘sehidup semati’  itu telah memakan hampir separuh dirinya. “usah dikenang tragedi itu!” getus hatinya. Hirman kembali memegang tetikus komputernya, bukan untuk meneruskan penulisannya, tetapi sekadar ingin mendengarkan sebuah lagu dendangan Maher Zain  yang berjudul InsyaAllah. Alunan muzik ditemani bait-bait katanya yang indah dan sesuai membuatkan hati hibanya kembali berbunga. Selesai sahaja mendengarkan lagu itu, Hirman terus menekan simbol ‘shut down’. Dengan lemah longlainya, dia menuju ke katilnya, menghempaskan badan di atas tilam herba yang agak mahal itu, sambil fikirannya masih lagi terbawa-bawa dengan persoalan  yang telah menerjah kotak fikirannya sebentar tadi. Dia akhirnya terlena dalam persoalan tanpa jawapan yang pasti..

                “Assolat tukhoirunminannaum”.  Laungan azan yang begitu sayu memecahkan keheningan pagi yang mula menjelma dengan sinar baru. Hirman terus terjaga daripada ulikan mimpi kerana dia sedar bahawa dia harus menyempurnakan kewajipannya sebagai seorang muslim dengan menunaikan solat Subuh sebagai salah satu cara memelihara imannya dan mengukuhkan akidahnya. Tanpa berlengah, Hirman terus mengambil wuduk seterusnya berjalan kaki menuju ke rumah Allah yang kebetulan terletak tidak jauh dari rumahnya. Selesai sahaja solat, Hirman terus menadah tangannya, memohon ke hadrat Ilahi agar diberikan kekuatan untuk terus tabah menjalani hidup ini yang penuh dengan ranjau kesusahan. Sejurus selepas itu, dia terus sujud syukur sebagai satu tanda dia cukup menghargai nikmat dan rezeki yang telah dikurniakan Allah kepadanya. Setelah selesai melakukan rutin paginya, dia mengambil keputusan untuk berjalan-jalan menghirup udara segar dan menghayati pemandangan yang cukup indah ciptaan Yang Maha Kuasa  sambil badannya merasai kedinginan angin pagi yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Setelah hampir sejam melepaskan rindunya pada suasana kampong yang bakal ditinggalkannya tidak lama lagi, dia terus berjalan pulang dengan senyuman sentiasa terukir di bibir. Seperti yang sentiasa dipesan ibunya, senyuman itu satu sedekah dan ia merupakan ubat yang paling mujarab dalam mengubati kekacauan jiwa.

               Setibanya di rumah, dia terus ke dapur lantas menjamah sedikit kuih yang terhidang di atas meja bulat  itu, bagaikan menunggu seseorang untuk dirasa keenakannya. “mak, sedapnya kuih ni. Mesti mak buat untuk anak kesayangan mak ni kan. Kalau la Man dapat isteri yang pandai masak cam mak ni, tentu Man dah kahwin”,  ujar Hirman tanpa segan silu. Sebenarnya, dia tidak perasan akan kehadiran seorang gadis jelita di rumah itu. Emaknya yang mendengar kata-katanya itu terus ketawa. “man anak mak ni, pandai-pandai saja kata emak yang buat kuih tu. Bukan emak la”, ujar mak Erma kepada anaknya Hirman. Hirman yang masih lagi dalam kebingungan terus bertanya, “habis tu, siapa?”. “Sudah tentulah Nur. Tak kan kamu tak perasan dia ada di depan rumah tadi”, ucap emaknya. Bagaikan terasa dipanggil, Nur menjengah ke dapur. “Ha, itu pun Nur. Hirman, kamu ingat lagi tak kat Nur  tu?”,  Tanya maknya.  Hirman yang bagaikan terpukau dengan keayuan Nur terus terdiam, berdiri kaku. Mulutnya terkunci, lidahnya kelu untuk menuturkan kata-kata. Hatinya mekar berbunga, jiwanya  bagaikan terkena sihir cinta. Inilah kali pertama dia terasa begitu sejak peristiwa hitam yang pernah menghantui dirinya suatu ketika dahulu. Soalan emaknya luput sahaja dalam ingatannya. Keinginannya untuk mengenali wanita ayu itu meruntun hatinya. Patutkah dia menegur wanita itu? Atau berdiam sahaja lebih baik kerana takut disalah erti pula.....



*kepada yang membaca cerita ini, sila mengundi pilihan anda untuk memudahkan saya menyambung certita ini*

Pilihan-pilihannya adalah seperti berikut :

A . Hirman akan menegur Nur
B . Hirman akan terus berdiam diri

Tuesday, February 8, 2011

Maafkan Diriku Kerna Ku Tak Bisa Memilihmu...

Ketika alunan sayu lagu ku tak bisa memilihmu kedengaran,
ku teringat memori indah kita berpacaran,
agak lama kita memendam perasaan,
akhirnya terluah mencetus perhubungan...

Kita bersama mencipta kenangan,
Yang tak mungkin ku lupakan mahupun ku hapuskan,
Kerna semuanya terjadi bukan suatu kebetulan,
Kerna ku yakin ianya harapan untuk masa depan...

Namun ombak datang membadai pesisir pantai,
Begitu jugalah hubungan kita yang semakin terlerai,
Hancur musnah janji yang telah dimeterai,
Kau dan aku tidak lagi sesuai...

Ku akui bukan salah dirimu,
Sebaliknya ia berpunca dariku,
Ku terlalai dalam duniaku,
Maafkan diriku itu pintaku....


                                                                         originally made by :
                                                                         Mohd Safwan Rosli

Friday, February 4, 2011

Jika bumi ada mentarinya,
Jika langit ada bintangnya,
Jika malam ada siangnya,
Jika laut ada ombaknya,
Jika angin ada tiupannya,
Jika muzik ada melodinya,
Jika gesekan biola ada alunannya,
Jika lagu ada ritmanya,
Jika puisi ada bait kata-katanya,
Jika cinta ada pasangannya,
Jika aku adanya dirimu....


Tanpa mentari hilanglah sinar bumi,
Tanpa kerdipan bintang hilanglah keindahan langit,
Tanpa siang hilanglah seri malam,
Tanpa ombak hilanglah kecantikan laut,
Tanpa melodi muzik itu sepi,
Tanpa ritma sumbanglah lagu itu,
Tanpa kata-kata, tidak tercetuslah puisi,
Tanpa pasangan musnahlah cinta,
Tanpa kehadiranmu, resahlah diriku....




                                                     originally made by :
                                                     Mohd Safwan Rosli

Hidup Bagaikan Biola...

Hidup ini umpama gesekan biola,
Penuh ilusi mengalunkan melodi,
Mencipta fantasi merealisasikan mimpi,
Mencetuskan sejuta rasa di hati,
Namun jangan disangka alunan melodi tiada sepi,
Kerna yang terjadi suratan Ilahi,
Pasti tercipta gembira dan sepi,
Menghiasi hidup insan di duniawi,
Tabahkan hati terus mengharungi,
Menggenggam tekad mengatasi imaginasi,
Jangan dilupa syukur pada Ilahi,
Tanpa rahmat-Nya hidup tidak diberkati....


                                                                           originally made by :
                                                                           Mohd Safwan Rosli

Thursday, February 3, 2011

Buat Yang Teristimewa...

Jika aku sang bumi,
Engkau lah yang ku katakan sang mentari,
Sentiasa menyinar penuh seri,
Menghadiahkan diriku kegembiraan hati..

Jika aku sang langit yang kebiruan,
Engkau lah kepulan awan,
Berarak tanpa halangan,
Membentuk ribuan kemanisan..

Jika diriku pesisir pantai,
Engkau lah ombak yang selalu membadai,
Membuat diriku terasa bernilai,
Tatkala engkau datang membelai..

Jika diriku sang pelangi,
Engkau lah si warna-warni,
Menimbulkan rasa sayang di hati,
Membibitkan rasa cinta tanpa disedari...

Jika diriku sang putera yang mencari,
Engkau lah puteri yang ku nanti-nanti,
Sehidup semati ku berjanji,
Akan bersamamu merealisasikan mimpi....



                                                                             originally made by :
                                                                             Mohd Safwan Rosli