Tuesday, August 9, 2011

Dilema Pelajar U : Antara Tarawikh dan Assignments??

Alhamdulillah..Ramadhan sudah berlalu hampir 10 hari dan ini juga menandakan kita akan meninggalkan 10 malam awal Ramadhan yang disebut sebagai malam makrifah. Sesungguhnya, bulan Ramadhan ini mendatangkan seribu satu kebaikan dan rahmat kurniaan Allah S.W.T. sama ada secara kita sedari ataupun tidak. Dan secara realitinya, puasa tidak langsung membebankan penganut Islam malah ianya merupakan satu kemuliaan kepada kita untuk mengimarahkan bulan ini. InsyaAllah, berbolak-balik kepada tajuk yang diutarakan di atas, saya yakin ramai di antara kita menghadapi dilema ini. Bukan sahaja pelajar universiti, malah pelajar sekolah dan golongan bekerja juga turut berhadapan dengan kemelut ini.

Apabila selesainya berbuka puasa dan menunaikan solat fardhu maghrib, pasti ramai antara kita akan berbaring sebentar sambil berfikir sejenak ; "hari ni cam banyak pula assignment nak siapkan. Esok dah kena submit. Tapi bila nak siapkan? kalu pergi tarawikh, balik tu mesti dah letih. Kalau x pergi rugi pula.". Ada juga yang akan berfikir sebegini ; "tarawikh sunat, tapi assgment wajib hantar. Tapi wajib-wajib pun dunia saja. Tarawikh pula boleh bawa akhirat. Macamna nak pilih neh?!!". Haa, saya yakin ramai yang dibelenggu dilema ini. Jadi apakah solusi terbaik bagi menghadapi masalah ini?

Secara umumnya,  tarawih bermaksud duduk istirehat setelah mengerjakan solat. Dalam erti kata lain, solat sunat tarawikh bermakna solat yang dilakukan dengan penuh rasa lapang di hati disertai dengan rasa gembira untuk mendekati Allah S.W.T. Hukum mengerjakan solat sunat tarawikh adalah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi setiap muslimin dan muslimah untuk dikerjakan selepas solat isyak pada bulan ramadhan. Solat ini boleh dilakukan secara jemaah mahupun individu, tetapi lebih digalakkan untuk dilaksanakan secara berjemaah.Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang. Jadi bagaimanakah dengan kita?

Sahabat sekalian,Ramadhan cuma datang sekali sahaja dalam setahun dan belum tentu pada tahun hadapan kita dapat menjadi tetamunya. Cuma kita berfikir sejenak. Untuk menghadiri sesuatu majlis, hanya orang-orang yang terpilih saja yang mampu menghadirinya. Begitu juga dengan bulan Ramadhan ini. Begitu banyak orang yang ingin menjadi tetamunya lagi di masa hadapan namun bukan semua yang akan terpilih. Oleh itu, sebagai insan yang terpilih, tidak salah rasanya andai kita meluangkan sedikit masa kita, mengimarahkannya dengan amalan-amalan fardu dan sunat. Cuba fikirkan kembali : kita sanggup meluangkan masa melayari laman sosial seperti facebook, twitter bahkan tidak lokek bersembang dengan kawan-kawan. Tetapi untuk menunaikan solat tarawih, kita rasa teragak-agak malah ada yang merasakan solat tersebut terlalu lama. Padahal secara puratanya, solat tersebut hanya mengambil masa satu jam untuk dilaksanakan. Bahkan solat ini hanya perlu dilaksanakan dalam masa sebulan. Islam cukup mudah dan tuntuntan-tuntutannya pula tidak membebankan  tetapi kita sendiri yang menjadikannya satu bebanan.

Sahabat sekalian. Pasti ada antara kita yang terdesak untuk menyiapkan assignments mereka. Namun, harus diingat, Islam ini cukup mudah bagi umatnya. Solat tarawih boleh dilakukan sepanjang masa selepas solat isyak sehingga sebelum solat subuh. Saya yakin dalam kesibukan kita dengan tuntutan dunia, pasti akan ada sedikit masa terluang. Jadi, apa kata gunakan masa tersebut untuk menunaikannya? Saya pasti selepas solat tersebut, kita akan berasa lebih tenang dan InsyaAllah, dengan izin Allah S.W.T , kita akan lebih terbuka minda untuk menyiapkan assignments tersebut. Andai kita dapat menyiapkan assignments dan selesai solat tarawih, bukankah lebih untung bagi kita? Kehidupan dunia kita jaga, kehidupan akhirat pun insyaAllah berjaya.

Wahai sahabat seperjuangan, ambillah sedikit masa, lapangkanlah hati dan jiwa kita untuk menunaikan ibadah kepada Allah S.W.T. Janganlah kita terlalu mengejar kehidupan dunia yang hanya sementara. Jadikanlah ibadah sunat sebagai pelengkap kepada ibadah fardhu. Sementara kita masih menjadi pilihan Allah bagi menjadi tetamu Ramadhan-Nya, gunakanlah masa yang ada untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Sesungguhnya, ibadah merupakan kunci kepada syurga. Sejauh mana kita ingin kembali ke syurga, semuanya terletak pada usaha dan tawakal kita.. Wallahualam. Ramadahan Karim :)

1 comments:

key0 said...

xdop ruang chatbox ko we?

Post a Comment

 

Blogger templates

Blogroll

About