“Hirman, jom!”, mak Erma mengajak anak kesayangannya itu masuk ke dalam kereta kerana mereka sepatutnya sudah bertolak sekarang. Kereta tersebut bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah sambil diiringi lambaian penuh pengharapan oleh penduduk kampung. Mereka cukup berharap Hirman mampu membanggakan kampung mereka suatu hari nanti. “ Mak, boleh tak singgap kejap di rumah Nur. Saya ada sesuatu nak bagi kat dia,” tutur Hirman. Mak Erma dan Pak Ramlan hanya mengangguk tanda faham akan keinginan yang memberontak dalam diri anak lelaki mereka itu. Setibanya di rumah Nur, Hirman membuka pintu kereta perlahan-lahan kerana sebenarnya dia cukup gementar untuk menyerahkan surat tersebut kepada Nur. Lagi gugup tatkala dia memikirkan seandainya Nur tidak ingin menemuinya. Hirman pantas menyembunyikan perasaannya itu. “Biarlah masa menentukan segalanya,” dia bermonolog. Pintu diketuk berulang kali, ucapan salam cuba dilaungkan sekuat mungkin. Namun, rumah Nur kelihatan sunyi, tiada seorang pun yang menjengah ke luar apatah lagi menjawab ucapan salamnya.
Tidak lama kemudian, Ustaz Amirul muncul dengan tergesa-gesa. “Man, apa yang kamu buat kat sini? Bukankah kamu dah lewat untuk ke airport?” Ustaz Amirul menanyakan soalan bertubi-tubi. “Saya nak jumpa Nur sekejap. Ada sesuatu yang saya nak bagi,” Hirman membuat penjelasan.
“Astaghfirullahal’azim! Saya lupa nak bagi tau kamu yang Nur dimasukkan ke hospital semalam. Dia diserang penyakit lamanya,” Ustaz Amirul memberitahu Hirman. “Penyakit?! Penyakit apa? Saya tak pernah tau pun yang Nur ada penyakit,” ucap Hirman dalam nada agak terkejut. “Sebenarnya Nur ada penyakit barah otak. Tapi lepas pembedahan dulu, doktor kata dia selamat. Macam suatu keajaiban jugalah. Tapi akhir-akhir ni dia mengadu sakit kepala. Bila dia kata sakit kepala sangat semalam, kami terus bawa dia ke hospital. Doktor kata penyakit barah tu mungkin dah serang dia semula. Jadi dia perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” Ustaz Amirul menerangkan dengan panjang lebar. Hirman terduduk. Tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi pipi. Hatinya merintih, jiwanya rasa hiba. Dia bagaikan tak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Dia langsung tidak menyangka seorang wanita ayu yang tidak lokek dengan senyuman dan senantiasa ceria bergelak ketawa sebenarnya menderita penyakit yang cukup serius. “Man, kamu okey?” tanya Ustaz Amirul setelah menyedari perubahan raut wajah Hirman. “tak pa lah. Kamu pergi cepat ke airport. Nanti terlewat pula. Kalau kamu ada apa-apa nak bagi pada Nur, kamu bagi saja pada pakcik. Nanti pakcik sampaikan pada dia. Apa-apa perkembangan, tentang Nur nanti pakcik inform kat kamu,” sambung Ustaz Amirul. Hirman hanya mengangguk dan menyerahkan surat tersebut kepada Ustaz Amirul. Dia berlalu pergi dengan dukacita. Kepedihan dan kerisauan yang membadai dirinya hanya Tuhan yang tahu. Hancur luluh hatinya memikirkan pemergiannya kali ini diiringi dengan khabar yang cukup menyayatkan hati. Mungkin selepas ini dia tidak akan dapat menatap lagi wajah ayu Nur. Jika itu berlaku, hatinya akan kembali suram, hidupnya akan bertukar muram kerna sang bidadari yang menyinari hidupnya telah pergi. Dia mengerti setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dia menyedari setiap yang hidup pasti akan mati, dia mengetahui setiap hubungan memerlukan pengorbanan. Namun, dia belum bersedia untuk menghadapi semua itu. Semua ini terlalu awal bagi hatinya yang kembali menguntumkan bunga-bunga cinta!
Hirman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan bertemankan leraian air mata. Mak Erma mengesat air mata yang membasahi pipi anak lelakinya itu. Pak Ramlan pula hanya menepuk-nepuk bahu Hirman sebagai tanda sokongan. “ Man, sudah la. Tak elok kalau lelaki menangis. Nanti tak gentleman,” Mak Erma bersuara. “ Man, emak dah pernah lalui apa yang sedang kamu lalui sekarang. Ini semua adalah pahit manis kehidupan. Ini semua ujian Allah ke atas kamu. Dia ank uji kamu sama ada kamu sabar atau tak. Dan Allah juga dah ciptakan setiap manusia itu berpasangan. Jadi sekarang, mak cuma nak kamu tanya pada hati kamu. Jujur pada diri kamu. Kamu betul-betul sayangkan Nur? Kamu yakin dialah pasangan yang diciptakan untuk kamu? Kamu pasti kamu mampu menjaga dia dan dia juga mampu membahagiakan kamu? Man, hidup di dunia ni hanya sekali. Jangan disia-siakan peluang yang ada. Dan juga dilepaskan kegembiraan yang mampu kamu kecapi, takut perginya nanti tidak akan kembali. Kamu masih ada masa untuk fikirkan semua ni. Mak tak kan pernah halang kamu untuk setiap keputusan yang man lakukan. Ini hidup man. Belajar-belajar juga tapi kebahagian dengan ilmu tidak cukup, kebahagiaan hidup juga perlu kamu utamakan. Jadi, fikirlah baik-baik,” Mak Erma memberikan nasihat. Hirman terkedu mendengarkan nasihat emaknya. Tak disangka emaknya mampu menuturkan kata-kata seperti itu. Hirman keliru.
Patutkah dia meneruskan sahaja impiannya melanjutkan pelajaran ke Russia? Namun dia takut seandainya pemergiannya kali ini bakal menjadi titik perpisahan antara dia dan Nur untuk selama-lamanya. Atau lebih baik sekiranya dia menangguhkan pengajiannya dan berada di samping Nur, menemani wanita itu menghadapi saat-saat getir dalam hidupnya?
0 comments:
Post a Comment